Wednesday 19 September 2012

Keletihan punca utama Kelantan kalah - Hodak

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Jurulatih Kelantan Bojan Hodak berpendapat keletihan merupakan punca pasukannya dibelasah 1-5 oleh juara liga Iraq, Arbil dalam pusingan pertama perlawanan suku akhir Piala AFC, pada Selasa.
Berikutan perjalanan jauh dan memenatkan dari Kota Baharu, pasukan pantai timur itu berhempas pulas dalam perlawanan itu di Stadium Francouse Al Hareeri.
Halkard Mulla Mohammed membuka jaringan pada minit ke-38 dari kawasan penalti sebelum ketua pasukan Kelantan Mohd Badri Radzi menyamakan kedudukan pada minit ke-41, kata AFC seperti yang dipetik daripada laman web mereka; www.the-afc.com.
Amjed Radhi menambah jaringan Arbil dengan satu lagi tendangan penalti pada minit ke-51 sebelum Luay Salah menjaringkan gol pada minit ke-66 dan diperkukuhkan dengan dua jaringan oleh pemain gantian Salih Sadeer pada minit ke-72 dan sebelum tiupan wisel penamat permainan memastikan pasukan Iraq melangkah keluar padang dengan kemenangan meyakinkan.
"Secara jujur, kami tidak layak menerima kekalahan teruk ini dan kami mungkin dapat menjaringkan lebih daripada satu gol tetapi kami gagal merebut peluang yang ada," kata Hodak.
"Semua pemain keletihan dan terjejas dengan perjalanan jauh yang mengambil masa lebih daripada 30 jam. Kami juga kehilangan lima pemain utama yang tidak datang bersama kami ke Arbil atas pelbagai sebab," katanya.
Walaupun keputusannya mungkin sudah berlalu bagi juara liga Super itu, jurulatih dari Croatia itu masih tidak berputus asa.
"Kita akan mndapatkan kembali beberapa pemain dalam pusingan kedua dan diharapkan kami akan mendapat keputusan yang baik," katanya.
"Dalam bola sepak tidak ada yang mustahil dan kami akan mencuba sedaya upaya untuk menang dalam pusingan kedua minggu depan. Kami berharap dapat mengalahkan Arbil walaupun saya percaya mereka adalah favourite untuk memenangi kejuaraan tahun ini," katanya.
Kelantan akan bertemu kelab Iraq itu bagi perlawanan pusingan kedua yang dijadual pada 25 Sept di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu.
Pemenang perlawanan ini akan bertemu sama ada Chonburi FC dari Thailand atau Al-Shorta dari Syria dalam pertemuan separuh akhir yang dijadual pada 2 dan 23 Okt. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © blog saya Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger